Kelas bercantum

1Kaedah Pengajaran–pembelajaran Pendidikan Moral di Kelas Bercantum

Guru perlu membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran yang teliti kerana dua atau tiga kelas diajar serentak dalam satu kelas. Perkara-perkara berikut perlu dipertimbangkan:

1)Pemilihan bahan-bahan yang sesuai bagi setiap kumpulan
2)Tugas-tugas bagi setiap kumpulan perlu ditetapkan
3)Masa perlu diperuntukkan untuk bimbingan dan bantuan individu
4)Objektif-objektif bagi setiap pelajaran hendaklah jelas
5)Gerak kerja setiap peringkat bagi setiap kumpulan hendaklah mencukupi
6)Isi-isi penting bagi setiap tajuk perlu disusun dengan teratur serta dicatat
7)Pastikan umur dan kebolehan kanak-kanak kelas bercantum tidak terlalu berbeza
8)Pastikan bahan-bahan pembelajaran kendiri, kit pembelajaran, lembaran kerja dan sudut-sudut pembelajaran disediakan dengan mencukupi. Ini penting apabila murid diminta membuat kerja sendiri.
9)Elakkan daripada mencantumkan kelas-kelas yang akan menghadapi peperiksaan.Mengajar kelas bercantum memerlukan pengelolaan rancangan dan persediaan yang teliti, mencukupi serta bersesuaian. Para pelajar hendaklah dilatih supaya berupaya bekerja tanpa banyak bimbingan, galakan atau kawalan.

Di samping itu, segala alat dan bahan pembelajaran kendiri seharusnya mencukupi untuk menjamin kelicinan serta keberkesanan proses pengajaran-pembelajaran di dalam sesebuah kelas bercantum.

Teknik Bersyarah

Teknik bersyarah juga difahami sebagai teknik kuliah dan melibatkan pengajaran prinsip-prinsip serta fakta-fakta oleh guru secara lisan. Banyak tentangan diberikan terhadap pengajaran yang menggunakan teknik ini kerana dikatakan bahawa murid selalunya pasif , tidak bergiat cergas dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh guru. Interaksi satu hala yang berlaku tidak banyak melibatkan murid dalam aktiviti di dalam kelas.

Bersyarah bukan sekadar membaca sesuatu teks semata-mata, tetapi perlulah disertakan dengan keterangan-keterangan tambahan, interpretasi serta penghuraian idea dan konsep yang terdapat pada teks tersebut. Maka, murid-murid akan memahami prinsip-prinsip atau apa sahaja yang terkandung di dalamnya dengan mudah. Guru tidak semestinya menggunakan teknik ini sepanjang sesi pengajaran dan pembelajara, malah ia boleh disingkatkan dan diteruskan dengan teknik perbincangan.

Masa yang terlalu panjang yang digunakan untuk bersyarah hanya akan membuatkan murid cepat bosan dan dan tidak mampu memberikan tumpuan pada isi pelajaran dalam tempoh masa yang lama. Teknik ini tidak sesuai digunakan ke atas murid-murid sekolah rendah dan menengah rendah kerana msa penumpuan perhatian adalah sangat singkat. Namun, ia mungkin boleh dijalankan di peringkat sekolah menengah atas atau di institut pengajian tinggi yang lain.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelebihan pada teknik ini. Dalam teknik ini, guru dapat menjimatkan masa pengajaran dengan mengemukakan semua idea dan pengalaman sekaligus. Masa juga tidak akan terbuang dengan perbincangan murid-murid. Namun, keberkesanan teknik ini terletak pada kebolehan guru-guru yang menyampaikan syarahan tersebut. Perlu diingatkan bahawa teknik ini boleh melemahkan dan merumitkan proses pembelajaran jika guru-guru tidak mahir menggunakan teknik ini.

Sehubungan itu, guru juga perlu memastikan tahap kebolehan murid-muridnya sebelum memulakan kuliah supaya termasuklah konsep dan perkara-perkara asas yang menjadi isi pengajaran mampu difahami oleh semua murid. Perancangan dan penyusunan kuliah yang teliti perlu dilakukan termasuklah merangka kuliah, dicetak dan diedarkan sebagai panduan kepada murid-murid. Penggunaan bahan rangsangan seperti peta, bahan pengajaran sebenar, papan tulis turut membantu guru menarik perhatian murid

Terdapat beberapa langkah yang boleh diikuti bagi mempertingkatkan keberkesanan teknik ini. Nota-nota yang penting perlulah mencukupi supaya kuliah yang disampaikan tidak terganggu. Syarahan yang disampaikan boleh dimulakan dengan pengulangan secara ringkas perkara-perkara yang telah dipelajari sebelum ini. Guru juga boleh mulakan kuliah dengan mengemukakan atau menimbulkan masalah yang berkaitan dengan isi pengajaran untuk difikirkan sejenak oleh murid-murid.

Sehubungan itu, syarahan yang disampaikan perlulah terdiri daripada perkara-perkara yang penting sahaja. Di samping menerangkan, menghuraikan dan mempuat interpretasi tentang bahan yang dibaca, syarahan tersebut perlulah disampaikan dengan penuh yakin supaya minat dan semangat untuk mempelajari pelajaran tersebut dapat disemai. Soalan-soalan juga boleh dikemukakan untuk mendorong murid supaya terus berfikir. Pengulangan-pengulangan perkara yang penting boleh dibuat sebelum guru membuat kesimpulan pada akhir pengajaran.

Teknik Bercerita

Teknik Bercerita

Teknik bercerita biasa digunakan oleh orang-orang kita pada waktu tertentu khususnya sewaktu menyampaikan sesuatu pengajaran kepada anak-anak mereka. Situasi yang sama boleh berlaku di dalam kelas apabila guru-guru menyampaikan isi pengajaran kepada murid-murid dengan menggunakan teknik ini. Malah, murid-murid akan memberikan lebih tumpuan dan perhatian apabila suasana yang dapat diwujudkan lebih menyeronokkan dan berkesan.

Di sekolah-sekolah rendah, murid-murid biasanya gemar mendengar cerita. Di samping itu, perkara yang diceritakan dapat segera difahami bahkan ada antara mereka yang mampu memahami maksud keseluruhan cerita tersebut.

Sungguhpun demikian, guru-guru perlu sedia maklum bahawa teknik bercerita dan pengajaran cerita adalah dua perkara yang berbeza. Kerana terlalu seronok bercerita, objektif pengajaran yang hendak disampaikan berkemungkinan menjadi kabur. Oleh itu, guru perlu sentiasa mengingati bahawa bercerita hanya berfungsi sebagai salah satu alat untuk menyalurkan isi pelajaran kerana aspek-aspek yang hendak disampaikan adalah lebih penting dan menjadi tumpuan utama.

Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil perhatian oleh guru sebagai persediaan teknik bercerita. Perkara pertama yang perlu diambil kira ialah umur, kecerdasan dan minat murid-murid tersebut haruslah bersesuaian dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan. Cerita tersebut perlulah dikaji terlebih dahulu supaya aspek-aspek bahasa tertentu dapat ditekankan. Bagi mewujudkan suasana yang lebih memberangsangkan, guru boleh menggunakan gambar, objek-objek sebenar dan bahan bantu mengajar yang lain sebagai tambahan. Sehubungan itu, guru juga harus menghafaz frasa-frasa, atau ayat-ayat yang penting dan lain-lain aspek bahasa yang hendak disampaikan supaya objektif utama pengajaran tercapai. Paling utama, cerita tersebut perlu disampaikan dalam keadaan yang selesa dan penekanan harus diberikan.

RSS Subscribe

Free Hit Counters