Friday, February 27, 2009

Teknik Bersyarah

Teknik bersyarah juga difahami sebagai teknik kuliah dan melibatkan pengajaran prinsip-prinsip serta fakta-fakta oleh guru secara lisan. Banyak tentangan diberikan terhadap pengajaran yang menggunakan teknik ini kerana dikatakan bahawa murid selalunya pasif , tidak bergiat cergas dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh guru. Interaksi satu hala yang berlaku tidak banyak melibatkan murid dalam aktiviti di dalam kelas.

Bersyarah bukan sekadar membaca sesuatu teks semata-mata, tetapi perlulah disertakan dengan keterangan-keterangan tambahan, interpretasi serta penghuraian idea dan konsep yang terdapat pada teks tersebut. Maka, murid-murid akan memahami prinsip-prinsip atau apa sahaja yang terkandung di dalamnya dengan mudah. Guru tidak semestinya menggunakan teknik ini sepanjang sesi pengajaran dan pembelajara, malah ia boleh disingkatkan dan diteruskan dengan teknik perbincangan.

Masa yang terlalu panjang yang digunakan untuk bersyarah hanya akan membuatkan murid cepat bosan dan dan tidak mampu memberikan tumpuan pada isi pelajaran dalam tempoh masa yang lama. Teknik ini tidak sesuai digunakan ke atas murid-murid sekolah rendah dan menengah rendah kerana msa penumpuan perhatian adalah sangat singkat. Namun, ia mungkin boleh dijalankan di peringkat sekolah menengah atas atau di institut pengajian tinggi yang lain.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelebihan pada teknik ini. Dalam teknik ini, guru dapat menjimatkan masa pengajaran dengan mengemukakan semua idea dan pengalaman sekaligus. Masa juga tidak akan terbuang dengan perbincangan murid-murid. Namun, keberkesanan teknik ini terletak pada kebolehan guru-guru yang menyampaikan syarahan tersebut. Perlu diingatkan bahawa teknik ini boleh melemahkan dan merumitkan proses pembelajaran jika guru-guru tidak mahir menggunakan teknik ini.

Sehubungan itu, guru juga perlu memastikan tahap kebolehan murid-muridnya sebelum memulakan kuliah supaya termasuklah konsep dan perkara-perkara asas yang menjadi isi pengajaran mampu difahami oleh semua murid. Perancangan dan penyusunan kuliah yang teliti perlu dilakukan termasuklah merangka kuliah, dicetak dan diedarkan sebagai panduan kepada murid-murid. Penggunaan bahan rangsangan seperti peta, bahan pengajaran sebenar, papan tulis turut membantu guru menarik perhatian murid

Terdapat beberapa langkah yang boleh diikuti bagi mempertingkatkan keberkesanan teknik ini. Nota-nota yang penting perlulah mencukupi supaya kuliah yang disampaikan tidak terganggu. Syarahan yang disampaikan boleh dimulakan dengan pengulangan secara ringkas perkara-perkara yang telah dipelajari sebelum ini. Guru juga boleh mulakan kuliah dengan mengemukakan atau menimbulkan masalah yang berkaitan dengan isi pengajaran untuk difikirkan sejenak oleh murid-murid.

Sehubungan itu, syarahan yang disampaikan perlulah terdiri daripada perkara-perkara yang penting sahaja. Di samping menerangkan, menghuraikan dan mempuat interpretasi tentang bahan yang dibaca, syarahan tersebut perlulah disampaikan dengan penuh yakin supaya minat dan semangat untuk mempelajari pelajaran tersebut dapat disemai. Soalan-soalan juga boleh dikemukakan untuk mendorong murid supaya terus berfikir. Pengulangan-pengulangan perkara yang penting boleh dibuat sebelum guru membuat kesimpulan pada akhir pengajaran.

No comments:

Post a Comment