Friday, February 27, 2009

Teknik Bercerita

Teknik Bercerita

Teknik bercerita biasa digunakan oleh orang-orang kita pada waktu tertentu khususnya sewaktu menyampaikan sesuatu pengajaran kepada anak-anak mereka. Situasi yang sama boleh berlaku di dalam kelas apabila guru-guru menyampaikan isi pengajaran kepada murid-murid dengan menggunakan teknik ini. Malah, murid-murid akan memberikan lebih tumpuan dan perhatian apabila suasana yang dapat diwujudkan lebih menyeronokkan dan berkesan.

Di sekolah-sekolah rendah, murid-murid biasanya gemar mendengar cerita. Di samping itu, perkara yang diceritakan dapat segera difahami bahkan ada antara mereka yang mampu memahami maksud keseluruhan cerita tersebut.

Sungguhpun demikian, guru-guru perlu sedia maklum bahawa teknik bercerita dan pengajaran cerita adalah dua perkara yang berbeza. Kerana terlalu seronok bercerita, objektif pengajaran yang hendak disampaikan berkemungkinan menjadi kabur. Oleh itu, guru perlu sentiasa mengingati bahawa bercerita hanya berfungsi sebagai salah satu alat untuk menyalurkan isi pelajaran kerana aspek-aspek yang hendak disampaikan adalah lebih penting dan menjadi tumpuan utama.

Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil perhatian oleh guru sebagai persediaan teknik bercerita. Perkara pertama yang perlu diambil kira ialah umur, kecerdasan dan minat murid-murid tersebut haruslah bersesuaian dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan. Cerita tersebut perlulah dikaji terlebih dahulu supaya aspek-aspek bahasa tertentu dapat ditekankan. Bagi mewujudkan suasana yang lebih memberangsangkan, guru boleh menggunakan gambar, objek-objek sebenar dan bahan bantu mengajar yang lain sebagai tambahan. Sehubungan itu, guru juga harus menghafaz frasa-frasa, atau ayat-ayat yang penting dan lain-lain aspek bahasa yang hendak disampaikan supaya objektif utama pengajaran tercapai. Paling utama, cerita tersebut perlu disampaikan dalam keadaan yang selesa dan penekanan harus diberikan.

No comments:

Post a Comment