Friday, February 27, 2009

CIRI-CIRI PERKEMBANGAN MENGIKUT PANDANGAN AHLI PSIKOLOGI ATAU TEORI YANG BERKAITAN

Bahasa telah didefinasikan oleh Wilhelm Von Humboldt yang merupakan seorang ahli psikologi berbangsa Jerman sebagai satu sintesis daripada bunyi yang dibentuk oleh lautform yakni bentuk luaran dan fikiran yang dibentuk oleh idenform yakni bentuk dalaman. Sementara itu, John B. Carol melihat bahasa dari sudut linguistik.

Menurut beliau, bahasa adalah sistem berstruktur daripada bunyi-bunyi vokal dan urutan bunyi-bunyi yang dipakai sewenang-wenangnya atau digunakan untuk berkomunikasi oleh sekumpulan manusia. Menurut Chomsky lagi, bahasa adalah sejumlah kalimat yang terbatas. Setiap kalimat tadi mempunyai panjang yang terbatas dan terdiri daripada unsur-unsur yang terbatas pula jumlahnya.

PERINGKAT KANAK-KANAK

Mengikut Naapie Mat (1992), kanak-kanak di peringkat awal usianya memperoleh bahasa ibundanya dengan memanjangkan makna tertentu yang mungkin boleh difahami ataupun tidak. Pada mulanya bayi memperoleh bahasa melalui tangisan dan sebutan yang ringkas seperti ‘ma’, ‘da’, ‘bah’, ‘pa’, dan sebagainya.

PERINGKAT AWAL KANAK-KANAK (2-6 TAHUN)

Menurut Vygotsky, pada umur 2 tahun, ayat yang dituturkan hanya terdiri daripada dua perkataan sahaja. Ini akan berlipat ganda sebanyak dua kali ketika mencapai umur 3 tahun. Kanak-kanak yang berusia 3 tahun ke atas pula boleh dikatakan sudah berupaya menyusun suku kata yang ringkas iaitu berdasarkan keperluan diri mereka atau yang biasa didengar.

Selepas itu, perkembangan bahasa kanak-kanak akan bertambah baik apabila mereka banyak melibatkan diri dengan rakan sebaya dan memberi perhatian yang serius kepada orang yang sedang bercakap seperti ibu bapa mereka, guru, adik beradik dan sebagainya.

Menurut Brown & Chapman (1981), semasa kanak-kanak berusia 4 tahun perbendaharaan kata semakin meningkat iaitu lebih daripada 1000 perkataan. Kanak-kanak yang menduduki kelas tadika biasanya berupaya mendengar dengan teliti apa yang diajar oleh guru dan boleh menceritakan semula jika disuruh.

Menurut Garney (1975), kanak-kanak yang berusia 5 hingaa 6 tahun, sudah boleh menyusun kata-kata dengan betul apabila bersama-sama dengan kumpulan rakan sebayanya. Mereka akan bermain bersama-sama, bercerita, berjenaka dan bergurau dengan rakan sebaya mereka.

PERINGKAT KANAK-KANAK (7-12 TAHUN)

Pada peringkat ini, kanak-kanak telah pun memasuki sekolah rendah. Penguasaan perbendaharaan kata telah meningkat, telah menunjukkan penguasaan dan sebutan bahasa yang betul atau ‘standard’. Mereka boleh melahirkan sesuatu pendapat melalui aktiviti lisan dan penulisan iaitu dalam bentuk ayat yang ringkas.

Menurut Chomsky (1969), semasa berada dalam darjah tiga. Kanak-kanak sekurang-kurangnya memperoleh sebanyak 30000 perbendaharaan kata. Perbendaharaan kata ini akan bertambah melalui pembacaan, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan juga pergaulan harian iaitu termasuk di rumah dan juga di sekolah. Kanak-kanak tidak lagi menumpukan pada diri sendiri ketika menceritakan sesuatu.sebaliknya, mereka mula mengambil tahu tentang hal orang lain dan menceritakannya.

Kanak-kanak yang berusia 10 hingga 12 tahun, kebanyakkannya sudah boleh berkomunikasi dengan baik dan seterusnya dapat membuat satu karangan pendek apabila diminta oleh guru.

PERINGKAT AWAL REMAJA

Menurut Piaget, perkembangan mental remaja berada pada peringkat operasi formal. Mereka sudah mampu menyelesaikan masalah konkrit dan abstrak. Mereka juga boleh membentuk hipotesis serta mengaplikasikan prinsip-prinsip dalam menyelesaikan masalah. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah perlulah mencabar serta mendorongkan.

PERINGKAT AWAL REMAJA (12-15 TAHUN)

Perkembangan bahasa praremaja peringkat ini pada mulanya mencapai tahap yang baik iaitu mereka dapat menguasai gaya dan berbagai-bagai struktur ayat. Penguasaan ini disebabkan mereka banyak membaca berbagai-bagai bahan bacaan termasuk akhbar, majalah, buku-buku cerita dan juga buku-buku pelajaran.

Murid-murid Melayu di Malaysia yang tidak pemalu serta cergas biasanya dapat menunjukkan penguasaan dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris. Mereka yang bersekolah Arab pula boleh menguasai tiga bahasa, manakala murid-murid Cina boleh memahami dan bertutur dengan baik dalam tiga bahasa sekali gus iaitu Cina, Melayu dan Inggeris.

Menurut Saltz (1979), penguasaan bahasa yang tinggi membolehkan remaja berinteraksi dengan orang dewasa serta bertukar-tukar pendapat. Ini memudahkan remaja menyelesaikan masalah sama ada konkrit mahupun abstrak.

PERINGKAT REMAJA (15-20 TAHUN)

Peringkat remaja merupakan satu zaman peralihan dari peringkat zaman kanak-kanak ke peringkat dewasa. Ia merupakan satu kumpulan anak muda yang berusia di antara 15 hingga 20 tahun. Sesetengah golongan remaja menganggap mereka tidak boleh lagi diperbudakkan kerana telah menjadi seorang yang mempunyai kematangan dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Kematangan tersebut menyebabkan mereka ingin mendapatkan kebebasan yang sebanyak mungkin tanpa pengawasan dan seterusnya menunjukkan keidentitian yang tersendiri. Apa yang membimbangkan ibu bapa dan masyarakat ialah golongan remaja sama ada yang sedang bersekolah atau tidak bersekolah, sudah mulai menyedari tentang perkembangan mental-emosi mereka dan mental-emosi orang lain.

Justeru itu, mereka sentiasa ingin tahu dan ingin mencuba sesuatu yang baru. Konflik dalam diri inilah menyebabkan kehidupan golongan remaja penuh dengan kegelisahan dan juga cabaran. Diri individu berkenaan yang memainkan peranan dalam membentuk identiti diri mereka. Sama ada ke arah kebaikkan mahu pun keburukan.

No comments:

Post a Comment